POLIS Johor serius dalam usaha menangani isu penagihan dadah di negeri tersebut dengan mengambil pendekatan lebih keras bagi membolehkan penagih tegar atau berulang dikenakan hukuman lebih berat.
Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, bagi penagih yang ditangkap melebihi tiga kali di negeri itu, mereka akan terus dituduh di bawah Seksyen 39C, Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara lima tahun dan tiga kali sebatan.
“Sebelum ini, banyak tangkapan dibuat terhadap penagih dan pemilik dadah ini dan dihadapkan ke mahkamah di bawah Seksyen 15(1). Kadang-kadang sampai 10 kali tangkap tetapi bila ke mahkamah, dikenakan hukuman enam bulan penjara dan kemudiannya bebas dan kembali menagih,” katanya.
Beliau berkata kaedah itu tidak berkesan dan Polis Johor ingin menyelamatkan para penagih dadah tersebut daripada kembali terjebak dengan menuduh mereka di bawah Seksyen 39C yang hukumannya lebih keras.
“Saya letakkan sasaran di setiap daerah di Johor, polis akan membuat sekurang-kurangnya 10 tangkapan setiap sebulan yang membawa kepada keseluruhannya, Polis Johor akan menangkap kira-kira 130 tangkapan di bawah Seksyen 39C,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi salah seorang panel diskusi Program Bandar Selamat Menjamin Kesihatan Mental Komuniti anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Johor di Batu Pahat, yang turut disertai Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Nooh Gadut. Program itu disiarkan melalui Facebook Live Polis Johor.
Ayob Khan berkata Seksyen 39C berkenaan merupakan “senjata” paling efektif dalam memerangi penyalahgunaan dadah dalam kalangan penagih tegar, yang dalam masa sama menunjukkan kesan baik terhadap pengurangan kadar jenayah di negeri ini.
“Di Malaysia, Kontinjen Polis Johor yang paling tinggi melakukan tangkapan di bawah Seksyen 39C dan pada tahun lepas sahaja lebih 18,000 penagih dadah ditahan dan setakat tahun ini sebanyak 593 penagih ditangkap,” katanya.
Beliau berkata, tindakan bukan sahaja diambil terhadap orang awam yang terlibat dengan dadah kerana Polis Johor juga mengambil tindakan tegas terhadap pegawai atau anggotanya yang terlibat dengan jenayah tersebut.
“Saya bagi jaminan pegawai-pegawai dan saya akan mengambil tindakan tegas terhadap polis yang terlibat jika mendapat aduan daripada orang ramai,” katanya.
Katanya, baru-baru ini beberapa pegawai polis yang menjual semula dadah jenis syabu yang dirampasnya telah diambil tindakan tegas.
Beliau berkata, walaupun ada pihak mempertikaikan tindakannya mengumumkan kepada umum mengenai tindakan pegawai atau anggota polis yang bermasalah tetapi beliau tidak memperdulikannya kerana ia membabitkan soal integriti.
“Ini bukan buka isu pekung di dada atau kepala.. ini isu integriti, kalau tak ada intgeriti, tidak berguna kita jadi manusia,” katanya. – UtusanTV
0 comments:
Post a Comment