Monday, April 12, 2021

Widgets

Malaysia jadi transit kartel dadah antarabangsa

BERSELINDUNG di sebalik orang kenamaan bergelar Datuk, Datuk Seri dan perniagaan yang sah menjadi modus operandi sindiket dadah di negara ini.

Individu berkenaan juga lebih dikenali umum sebagai ahli perniagaan berjaya termasuk memiliki perniagaan perkapalan dan hotel mewah tetapi pada masa sama menjadi kepala sindiket penyeludupan dadah yang mengancam negara.

Membongkar taktik itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, penglibatan sindiket atau kingpin termasuk orang kenamaan yang berpengaruh adalah disebabkan keuntungan yang diperoleh sangat cepat.

**media[1028542]**

Menurutnya, keuntungan berlipat kali ganda menjadikan ramai individu cuba untuk menjadi ‘raja dadah’.

“Sebagai contoh, dadah jenis syabu yang dibeli dari Laos pada harga RM25,000 sekilogram (kg) mampu dijual sehingga RM125,000 di Indonesia. Ini bermakna mereka boleh mengaut keuntungan bersih RM100,000,” katanya.

Laos ialah salah sebuah negara penghasil dadah utama di Asia Tenggara yang digelar ‘Segi Tiga Emas’. Ia meliputi kawasan yang terletak di barat daya Laos, utara Thailand dan timur laut Myanmar.

“Berdasarkan tindakan agresif kita, kita percaya dapat menumpaskan sehingga 300 sindiket menjelang Disember nanti.

“JSJN dengan risikan dan maklumat akan memastikan penawaran serta permintaan dadah ini dapat diputuskan dan dikurangkan,” katanya dalam temu bual khas bersama Sinar Harian di Bukit Aman baru-baru ini.

Tahun lalu, pihak polis telah menumpaskan sebanyak 305 sindiket dadah di Malaysia manakala 56 lagi ditumpaskan sehingga Februari lalu. Namun, sindiket dadah tidak pernah berakhir.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pihak sindiket menggunakan khidmat penghantar makanan, e-hailing, kurier dan bermacam-macam ejen lagi.

Antara rampasan terbesar tahun ini adalah melibatkan dadah jenis captagon bernilai RM5.2 bilion yang dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Razarudin, kebanyakan aktiviti penyeludupan dadah di negara ini bermula dari kawasan Segi Tiga Emas.

“Dadah ini bukan sahaja untuk kegunaan pasaran tempatan sebaliknya akan dieksport ke negara lain seperti Australia, Korea Selatan, New Zealand, Taiwan, Hong Kong, China, Filipina dan Indonesia. Negara kita dijadikan sebagai transit. Namun, kingpin yang telah dikenal pasti tidak akan terlepas walaupun mereka ini bergelar Datuk Seri dan Datuk,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Razarudin berkata, penglibatan kingpin dengan orang bawahan adalah terhad kerana mereka bertopengkan syarikat yang ditubuhkan hasil kegiatan haram ini.

Ujarnya, suspek bertindak menubuhkan syarikat dan kingpin ini tidak akan ‘pegang’ dadah sebaliknya memberi arahan sahaja.

“Mereka ada perniagaan besar seperti syarikat perhotelan mewah, syarikat perkapalan dan lain-lain. Perniagaan ini digunakan untuk mengaburi mata pihak berkuasa selain mencuci wang haram mereka.

“Syarikat ini juga bayar cukai dan mengikut peraturan yang sah. Dari segi perundangan kita tidak boleh buat apa-apa namun apabila tangkapan dibuat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, kita akan buka siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988,” jelasnya.

Polis siasat individu tayang kemewahan

Menurut Razarudin, kebanyakan kingpin tempatan mempunyai hubungan mereka sendiri di Segi Tiga Emas termasuk orang tengah di sempadan yang menggunakan kumpulan transporter untuk membawa dadah masuk ke dalam negara.

Katanya, kingpin dan transporter tidak mengenali antara satu sama lain dan mereka berhubung melalui telefon sahaja manakala hanya kingpin serta sindiket di Segi Tiga Emas yang saling mengenali antara satu sama lain.

“Ia bukan perkara mudah seperti yang sangka orang. Malah taktik penyeludupan juga adalah pelbagai termasuk menggunakan perabot. Baru-baru ini mereka menggunakan barangan alatan keagamaan di Korea Selatan manakala di Indonesia mereka menggunakan sejadah.

“Macam-macam taktik yang ada sekarang. Tetapi dalam jangka masa 10 tahun, kita tidak tahu apa taktik lagi yang ada. Udara dan laut sudah tentu digunakan,”

Jelasnya lagi, pihaknya juga telah mengenal pasti empat kingpin dari luar negara yang terlibat dengan sindiket tempatan.

Tegasnya, pada tahun lalu, tiga individu bergelar Datuk Seri dan Datuk telah ditahan dan kini mereka telah dipenjarakan serta dikenakan tindakan Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).

Mengulas mengenai kegiatan kingpin itu, Razarudin menjelaskan, Malaysia yang terletak bersempadan dengan negara Segi Tiga Emas menjadi antara faktor perkara itu berlaku.

“Berdasarkan maklumat yang ada, di sana (Segi Tiga Emas) ada lebih 30 kilang besar dan kecil memproses dadah. Kita tahu pengeluaran dadah dari sana.

“Daripada risikan kita, kemasukan dadah adalah dari Kelantan dan Kedah serta Pulau Pinang melalui Satun, Thailand.

“Dengan adanya Ops Benteng yang dibantu Maritim Malaysia, kita masih lagi dapat menangani kemasukan dadah ini,” katanya.

Selain itu katanya, JSJN turut mengesan individu di usia muda yang hidup mewah dalam masa singkat kerana terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dengan menayang aset seperti rumah serta kenderaan mewah di media sosial.

Justeru, JSJN mengingatkan pengedar di luar sana yang mungkin tidak berasa malu merosakkan masyarakat Malaysia, pihaknya sedang mengumpul setiap maklumat sebelum ditahan, rampas selain tindakan undang-undang.

PRO sogok penguat kuasa

Razarudin mendedahkan, kingpin yang menguruskan kegiatan dadah ini bukan sahaja terdiri daripada ahli perniagaan yang sah, malah sindiket yang beroperasi itu turut mempunyai pegawai perhubungan awam (PRO), sama seperti syarikat-syarikat korporat lain di negara ini, bertujuan mencari pihak berkuasa untuk dirasuah bagi menjaga kepentingan perniagaan mereka.

“Sindiket dadah juga ada ‘pengurus pemasaran’ dan mereka tidak ragu-ragu merasuah mana-mana pegawai penguat kuasa bermula dari sempadan hingga ke dalam negara.

“Sekiranya ada tangkapan melibatkan ahli mereka, PRO ini akan bertindak sebagai orang tengah untuk melepaskan tahanan dan seumpamanya.

“Mereka tiada kemahiran khusus dalam kerjaya PRO tetapi semua itu terletak kepada niat penguat kuasa terbabit. Kadang-kadang penguat kuasa itu kenal orang itu terlibat dadah tetapi berbaik untuk dapat keuntungan daripada perkara salah,” ceritanya.

Tambah Razarudin, selain masyarakat, beliau sentiasa bersikap tegas kepada pegawai dan anggota JSJN dalam memastikan integriti para pegawai dan anggota berada pada tahap terbaik.

“Saya tidak akan teragak-agak untuk ambil tindakan sekiranya mereka terlibat dengan dadah, bersekongkol dengan kingpin, sindiket atau menjadi penagih. Kita tidak benarkan mereka ada dalam PDRM, rosak PDRM jika ada musuh dalam pasukan.

“Saya juga akan pastikan diri saya dalam integriti yang baik sebelum saya sampaikan kepada orang lain. Tumpukan ‘rumah’ saya dahulu,” kata beliau. -sinar harian

0 comments:

Post a Comment

 
Related Posts with Thumbnails