Saturday, April 10, 2021

Widgets

Cubaan seludup dadah RM40,000 gagal

PELABUHAN KLANG: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Selangor menggagalkan cubaan untuk menyeludup dadah dianggarkan bernilai RM40,000 di pesisiran Pantai Tongkah, dekat sini, semalam.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 3 pagi ketika anggota penguat kuasa menjalankan rondaan Op Ehsan di sepanjang perairan Banting.

Beliau berkata, mereka kemudian mengesan sebuah bot fiber berada di pesisir pantai Tongkah dalam keadaan mencurigakan.

"Bagaimanapun, sebaik saja menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, bot terbabit terus memecut meninggalkan lokasi.

"Dua lagi suspek yang belum sempat menaiki bot itu, cuba meloloskan diri ke kawasan paya bakau tetapi seorang daripada mereka berjaya diberkas.

"Hasil pemeriksaan ke atas suspek lelaki warga Indonesia itu menemui satu peket berwarna hijau disyaki mengandungi dadah jenis syabu.

"Dadah berkenaan dianggarkan seberat satu kilogram (kg) dengan nilai RM40,000," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan itu, Mohd Rosli berkata, suspek berusia 40 tahun berkenaan disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup.

Beliau berkata, Maritim sentiasa komited menjalankan operasi penguatkuasaan di laut dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang melakukan kegiatan jenayah di sepanjang Zon Maritim Malaysia.

"Jika ada aduan dan maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, sila hubungi Pusat Operasi Maritim Selangor menerusi talian 03-3176 0627 yang beroperasi 24 jam atau talian kecemasan MERS 999 supaya tindakan segera dapat diambil oleh Maritim Malaysia," katanya. -berita harian

0 comments:

Post a Comment

 
Related Posts with Thumbnails