KUANTAN - Lima individu termasuk seorang wanita disyaki anggota sindiket pengedaran dadah yang bergerak aktif sekitar Bera, Temerloh dan Maran ditahan dalam dua tangkapan berasingan sekitar Bera dan Ipoh, Perak pada Rabu lalu.
Susulan penahanan suspek berusia 19 hingga 48 tahun itu polis berjaya merampas hampir enam kilogram (kg) dadah dianggarkan bernilai lebih RM91,000.
Turut dirampas 2.6 kg serbuk kafein, barang kemas dan wang tunai bernilai RM1,500.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, semua suspek berasal dari Negeri Sembilan dan Perak itu dipercayai mempunyai pertalian keluarga.
Menurutnya, tiga suspek dikesan dan ditahan di hadapan kedai makanan segera di Bera kira-kira jam 9 pagi pada Rabu.
"Suspek ditahan dalam sebuah kereta dipercayai ketika sedang menunggu pelanggan.
"Hasil pemeriksaan, polis merampas dadah jenis heroin dengan anggaran berat 1.03 kilogram dan 4.5 kilogram heroin," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang pada Isnin.
Mohd Yusri berkata, susulan penahanan suspek itu, pihaknya berjaya menahan dua lagi suspek di sebuah rumah di Ipoh Perak pada petang hari yang sama.
"Hasil pemeriksaan ke atas rumah sewa itu, polis menemui bahan-bahan dan peralatan disyaki digunakan untuk memproses dadah selain sejumlah dadah jenis heroin dan serbuk kafein.
"Kita percaya sindiket ini memproses sendiri dadah tersebut untuk dibekalkan kepada penagih di Bera, Temerloh dan Maran," katanya.
Beliau berkata, sindiket tersebut dipercayai bergerak aktif sejak dua bulan lalu.
"Hasil semakan rekod mendapati empat daripada suspek mempunyai rekod lampau berkait kes dadah dan jenayah serta positif dadah.
"Suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari hingga Selasa untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
0 comments:
Post a Comment