Wednesday, April 14, 2021

Widgets

Seludup dadah guna khidmat penghantaran meningkat di Korea Selatan

SEOUL: Penyeludupan dadah menggunakan khidmat penghantaran antarabangsa naik mendadak berikutan sekatan perjalanan ke luar negara dan kecenderungan pembelian dalam talian ketika penularan COVID-19.

Agensi berita Yonhap melaporkan, Pejabat Kastam Incheon melumpuhkan 189 kes penyeludupan dadah pada suku pertama tahun ini dan mendakwa 16 suspek.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 182 kes membabitkan penghantaran antarabangsa berbanding 118 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

"Jumlah dadah yang disembunyikan dalam bungkusan atau dokumen mencapai berat seingga 96 kilogram (kg) dengan peningkatan 68 peratus berbanding 57 kg, tahun lalu.

"Secara umum, jumlah rampasan methamphetamine meningkat dua kali ganda daripada 23 kg kepada 58 kg bagi tempoh sama. Jumlah keseluruhan dadah disita pejabat kastam mencapai 99 kg," kata pejabat itu.

Pejabat itu juga mendedahkan kaedah penyeludupan dadah menjadi semakin canggih bagi menghindari pengawasan dan pengesanan.

Katanya, ramai pengedar membeli dadah melalui perkhidmatan pesanan selamat atau laman web gelap, internet yang hanya boleh diakses melalui perisian atau kebenaran tertentu serta membuat pembayaran melalui broker mata wang kripto.

Dadah berkenaan katanya kemudiannya dihantar ke negara ini, diikrar sebagai surat, disembunyikan dalam makanan dalam tin atau dengan cara lain yang tersembunyi.

"Kami berusaha habis-habisan untuk mematahkan penyeludupan narkotik dengan menggunakan pelbagai kaedah siasatan seperti pemeriksaan, pengesanan komunikasi, analisis data besar dan forensik digital," katanya. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 
Related Posts with Thumbnails