Monday, April 12, 2021

Widgets

Datuk dan Datin dalang sindiket dadah ditahan

Batu Pahat: Pasangan suami isteri bergelar Datuk dan Datin yang menjadi dalang sindiket pengedaran dadah ditahan polis dalam serbuan di perairan Batu Pahat, dekat sini.

Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Deputi Komisioner Zainudin Ahmad berkata, polis melakukan enam serbuan di Johor dan Selangor pada Rabu dan Khamis lalu.

"Melalui tangkapan suspek yang berusia antara 22 hingga 59 tahun yang kesemuanya warga tempatan itu, sebanyak 12.24 kilogram syabu, 6.61kg pil ektasi dan 420 gram ketamin serta tiga kenderaan mewah dan barang kemas bernilai RM1.39 juta dirampas.

"Sindiket sudah mula aktif menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak pertengahan September 2020," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, dekat sini.

Beliau berkata, sindiket dipercayai menjadikan perairan di sekitar pantai barat Johor termasuk di Batu Pahat untuk membawa keluar dadah bagi pasaran di Indonesia.

"Sindiket menggunakan kereta mewah untuk membawa dadah berkenaan bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan semua suspek yang ditahan direman selama tujuh hari sehingga 14 April 2021," katanya.

Katanya, sindiket turut terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah antarabangsa pada 19 Mac lalu, dengan tangkapan dilakukan oleh pihak berkuasa Taiwan.

"Tangkapan itu membabitkan ketamin seberat 281kg dengan anggaran nilai sebanyak RM15 juta.

"Seramai tiga warga tempatan dan empat warga Indonesia ditahan serta polis sedang giat mencari saki-baki ahli sindiket termasuk mereka yang dipercayai menjadi perantara untuk menyeludup keluar dadah," katanya -MyMetro

0 comments:

Post a Comment

 
Related Posts with Thumbnails