Sunday, April 11, 2021

Widgets

Polis Johor rampas dadah RM125.8 juta

JOHOR BAHRU: Polis Johor berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM125.8 juta yang boleh menampung 5.4 juta penagih dalam serbuan Sabtu dan Ahad lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain@ Abd Rasid, berkata ia antara kejayaan rampasan dadah terbesar di Malaysia, membabitkan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah, setakat awal tahun ini.

Katanya, dalam 16 serbuan selama dua hari bermula 2.45 petang Sabtu hingga 6.40 petang Ahad lalu, seramai 15 suspek, membabitkan lapan lelaki dan tujuh wanita warga tempatan, berusia antara 17 hingga 62 tahun berjaya ditahan.

Beliau berkata, ketua sindiket berkenaan yang berusia 30-an turut ditahan dengan siasatan masih dijalankan sama ada, bagi memastikan tiada saki baki ahli sindiket yang bebas termasuk kewujudan dalang yang lain.

"Risikan selama setahun kita buat terhadap sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah yang beroperasi di dua rumah sekitar bandar raya ini yang dijadikan stor penyimpanan dan makmal memproses dadah.

"Sindiket ini dipercayai aktif sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu berikutan semua pintu sempadan negara dikawal ketat membuatkan dadah yang diseludup dari luar negara tidak dapat masuk, menyebabkan mereka memproses sendiri dadah.

"Dadah yang dirampas adalah syabu sebanyak 72.61 kilogram (kg); serbuk ecstacy (12.81 kg); ganja (5.44 kg); 3.72 juta biji pil eramin 5; sebanyak 397,905 biji pil ecstacy; heroin (4 gram); ketamin (28.0 gram); jus manggo (8.5 gram); serbuk dadah seberat 969.15 kg selain enam mesin dan peralatan memproses dadah.

"Turut dirampas ialah 13 kereta mewah pelbagai jenama, sebuah motosikal jenis Kawasaki, wang tunai sebanyak RM2.28 juta, pelbagai wang mata asing bernilai RM284,000, jongkong emas seberat 1kg, empat utas jam tangan jenama Rolex dan pelbagai jenis barang kemas yang kesemuanya bernilai RM5.43," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor,hari ini.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, makmal dadah berkenaan mampu memproses sebanyak 3,000 biji pil dadah pelbagai jenis dalam masa satu jam selain mampu menghasilkan lebih 300,000 dalam tempoh kurang tiga hari.

Beliau berkata, dadah itu dipercayai untuk pasaran tempatan namun tidak menolak kemungkinn ia juga untuk diseludup ke pasaran luar.

"Kesemua 15 suspek direman bermula Ahad lalu hingga 16 Januari ini, mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

"Tiga daripada suspek ditahan didapati positif dadah manakala, hasil semakan rekod lampau mendapati mereka juga mempunyai enam kesalahan lampau antaranya membabitkan kesalahan dadah, senjata api dan ugutan jenayah, " katanya -beritaharian

0 comments:

Post a Comment

 
Related Posts with Thumbnails