Thursday, April 15, 2021

Widgets

25 penagih, pengedar dadah diberkas

KUALA LUMPUR - Seramai 25 individu termasuk seorang wanita disyaki penagih dan pengedar dadah ditahan di Flat Jalan San Peng di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kesemua suspek berusia antara 20 hingga 61 tahun itu ditahan dalam operasi pada jam 7 pagi.

"Kebanyakan mereka yang ditahan itu tidak mempunyai kerja tetap dan gelandangan," katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Mohamad Zainal berkata, pihaknya merampas 13 paket plastik berisi bahan disyaki dadah jenis heroin anggaran berat 23.9 gram dan tiga paket plastik berisi daun kering disyaki ganja anggaran berat lima gram.

"Semakan mendapati kesemua tangkapan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 3(1) akta yang sama di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti pengedaran dan penagihan dadah di daerah itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-26002222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya.


0 comments:

Post a Comment

 
Related Posts with Thumbnails