Wednesday, October 21, 2015

Widgets

Diekori pocong puncak Nuang

NIAT membantu rakan-rakan yang cedera dan kepenatan semasa mendaki bertukar menjadi pengalaman yang tidak mungkin dilupakan Mohd. Adham Ab. Mulok.

"Semuanya bermula bila ahli kumpulan kepenatan akibat kehabisan makanan dan minuman.

"Dengan sedikit pengalaman mendaki dan tenaga yang ada, saya menawarkan diri untuk pergi mencari air,'' kata pekerja agensi pelancongan berusia 24 tahun ketika ditemui S2 baru-baru ini.

Mohd. Adham berkata, beliau meninggalkan kumpulannya yang sedang dalam perjalanan turun dari puncak Nuang di Hulu Langat, Selangor kira-kira pukul 5 petang untuk mengambil air di Kem Pacat.

Menurut perkiraan rambang yang dilakukan, jarak perjalanan untuk turun ke sumber air terdekat pada waktu itu memakan masa kira-kira 15 minit.

Dalam kejadian 2009 itu, Mohd Adham meredah hutan seorang diri berbekalkan botol-botol kosong sebelum tiba di kawasan sumber air berhampiran Kem Pacat.

"Saya berlari turun selaju yang terdaya tapi pergerakan ketika itu agak terbatas kerana hujan.

"Sebelum sampai ke anak sungai, saya terpandang bongkah batu yang besar di situ.

"Entah kenapa tiba-tiba bulu roma meremang dari kepala hingga ke kaki ketika melalui kawasan itu,'' katanya.

Selepas semua botol yang dibawa diisi air, beliau memulakan langkah untuk mendaki semula, namun perjalanannya tiba-tiba terhenti sebaik sahaja sampai di kawasan batu berkenaan.

Mohd. Adham berkata, ketika berdiri di situ beliau dikejutkan dengan satu tiupan angin yang agak kuat dari sebelah kiri dan serentak dengan itu, kakinya mengalami kekejangan.

"Saya jadi kaku di situ. Jangan kata nak berjalan, nak angkat kaki pun tak terdaya.

"Memang penat tapi kalau nak kata sebab air yang saya angkut terlalu berat, macam tidak logik,'' katanya.

Panik dengan apa yang berlaku, matanya melilau memeriksa kawasan di sekeliling. Pandangannya tiba-tiba terhenti pada satu objek putih yang berada bersebelahan batu besar yang terletak kira-kira 10 meter dari tempat beliau berada.

"Walaupun hanya sekilas pandang, saya yakin benda putih berbungkus itu adalah pocong.

"Pada pandangan kedua, ia sudah tiada di situ,'' katanya.

Ketakutan Mohd. Adham tidak lama selepas itu diredakan oleh teriakan suara kawan-kawannya yang turun untuk mencari beliau.

Selepas mengagihkan air kepada rakan-rakannya, kumpulan pendaki seramai 10 orang itu menyambung semula perjalanan menuju ke Kem Lolo.

Bagaimanapun, gangguan makhluk halus itu tidak berakhir di situ. Dalam perjalanan turun ke Kem Lolo, beliau sekali lagi diganggu.

"Ketika sedang berlari turun, saya rasa seperti dilanggar dari belakang sehingga saya jatuh tersungkur.

"Kawan-kawan yang berada di belakang hanya nampak saya jatuh. Walaupun tiada kelibat yang kelihatan, kejadian itu cukup menakutkan,'' katanya.

Mohd. Adham berkata, kesemua pendaki akhirnya tiba di kaki Gunung Nuang kira-kira pukul 9 malam sebelum berjalan ke tapak perkhemahan di sebuah calet di Kampung Pangsoon.

Keesokan harinya, beliau didatangi oleh seorang rakan yang mendakwa melihat lembaga putih bertenggek di atas pokok bersebelahan dengan khemahnya.

"Berdasarkan apa yang berlaku, saya rasa saya diekori pocong sejak dari batu besar di Kem Pacat.

"Syukur kerana semuanya berakhir di situ,'' ujarnya.

0 comments:

Post a Comment

 
Related Posts with Thumbnails