Saturday, October 17, 2015

Widgets

Dadah dalam buku

KUALA LUMPUR - Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (Sting) Bukit Aman berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran syabu menggunakan buku untuk menyorok dadah sebelum dihantar menggunakan perkhidmatan kurier ke Australia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, hasil risikan dan serbuan, sejumlah 260 gram syabu dirampas di sebuah syarikat perkhidmatan kurier di Selangor, malam kelmarin.

Menurutnya, satu bungkusan plastik bernilai kira-kira RM100,000 ditemui dalam sebuah buku tebal yang ditebuk empat segi di bahagian tengah.

“Buku itu dipercayai dihantar ke Australia menggunakan syarikat perkhidmatan kurier antarabangsa.

“Setakat ini, belum ada tangkapan dan kita akan terus siasat bagi mengesan mereka yang terlibat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, semalam.

Dalam pada itu, satu lagi sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah g didalangi warga Nigeria berjaya ditumpaskan dengan tertangkapnya empat suspek, kelmarin.

Mohd Mokhtar berkata, empat suspek termasuk seorang warga Indonesia dan seorang wanita, berumur 22 hingga 35 tahun, ditahan dalam tiga serbuan di sekitar Bandar Baru Puchong, Selangor.

“Serbuan pertama di parkir sebuah pasar raya di Puchong. Kita temui lima kilogram dadah dipercayai jenis syabu yang disorokkan di dalam kereta.

“Dalam serbuan itu, dua suspek lelaki warga Nigeria dan Indonesia ditahan,” katanya.

Serbuan kedua dan ketiga di dua kondominium di Puchong, dua lelaki warga Nigeria ditangkap dan syabu dirampas.

Keseluruhan rampasan berjumlah 7.9 kilogram syabu dianggarkan bernilai RM1.9 juta, dipercayai untuk diseludup ke negara jiran, Indonesia.

“Kesemua yang ditahan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi siasatan lanjut sehingga 16 Oktober depan,” katanya. - Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment

 
Related Posts with Thumbnails