KOTA BHARU - “Macam mati hidup semula.” Itu kata Hakim, Ahmad Bache terhadap seorang pemuda yang dihukum penjara 12 tahun dan 20 sebatan kerana kesalahan memiliki 59.97 gram (g) heroin dan 34.45 g metamphetamine di mahkamah tinggi, di sini, semalam.
Abdul Hadi Muhamad, 21, dihukum selepas mengaku salah atas tuduhan pilihan pertama dan kedua memiliki dadah berkenaan di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Katib Ali, di sini, pada jam 10.45 pagi, 29 Jun 2014.
Ahmad dalam keputusan itu mempertimbangkan hujah kedua-dua belah pihak pembelaan dan pendakwaan. Katanya, tertuduh bernasib baik kerana mahkamah mengambil kira usia muda serta memberi peluang kepadanya kembali ke pangkuan keluarga selepas selesai menjalani hukuman itu.
“Apabila balik nanti, penjaga bimbinglah dia dengan baik kerana kali ini dia terlepas tali gantung. Kamu (tertuduh) pula kena ingat, kamu sudah menyusahkan keluarga yang mencari peguam dan tidak tidur malam memikirkan kamu akan digantung.
“Dalam penjara nanti insaf dan belajar agama. Apabila keluar, jadilah insan yang berguna kepada agama, ibu bapa, bangsa dan negara,” katanya panjang lebar.
Sebelumnya, peguam, Wan Naziruddin Wan Jaafar merayu bagi pihak tertuduh mengurangkan hukuman penjara dengan mengimbangi hukuman sebat yang dikenakan.
“Tertuduh adalah anak bongsu daripada empat beradik. Bapanya berusia 66 tahun dan hanya berniaga ‘colek’ (jeruk buah-buahan), manakala ibunya pula berusia 62 tahun serta tidak bekerja. Tertuduh pula kerja tidak menentu.
“Dia insaf atas kesalahannya yang menyusahkan ibu bapa dan bertekad untuk menebus kesalahan itu apabila keluar nanti. Kesalahan juga adalah yang pertama dilakukan tertuduh,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya negeri, Wan Azimah Yaacob sebaliknya memohon hukuman berat bertujuan menunjukkan kecaman terhadap kesalahan seumpamanya. Dadah adalah masalah rakyat yang boleh membawa kemusnahan fizikal dan moral serta paling tinggi, boleh membawa maut.
“Tertuduh sepatutnya sedar sebelum berbuat salah dan bukan datang ke sini meraih simpati dengan memberitahu ibu bapa sudah tua serta kurang berkemampuan. Saya mohon mahkamah mengambil kira jumlah dan jenis dadah serta membandingkan harganya yang tinggi dalam pasaran,” katanya.
0 comments:
Post a Comment