IPOH – Sepasang suami isteri ditemui maut dalam keadaan mengerikan apabila leher dikelar dan kepala ditetak di rumah mereka di Kampung Ayer Tawar, Manjung, dekat sini, awal pagi semalam.
Mangsa, K Ashahkumar, 36, dan isteri, V Panumathy, 38, ditemui di dalam dan luar rumah mereka dalam kejadian yang berlaku pada jam 1 pagi itu.
Seorang penduduk yang enggan dikenali memberitahu, dia melihat Panumathy terbaring di atas jalan dan cuba mendapatkan bantuan selepas melihat jirannya mengalami kecederaan parah di kepala kerana menyangka mangsa mengalami kemalangan.
“Ketika menghampirinya, mangsa masih boleh bernafas dan saya segera menghubungi ambulan serta polis untuk mendapatkan bantuan.
“Jiran lain yang melihat kejadian itu bergegas ke rumah mangsa dan menemui seorang lelaki dipercayai suami mangsa telah mati dan dibalut menggunakan tilam.
“Mayatnya ditemui di ruang tamu rumah dan lehernya dikelar teruk sehingga mengakibatkan tilam yang membalutinya dipenuhi darah.
“Sebelum ini, pasangan terbabit yang bekerja sebagai penyembur racun perosak di ladang kelapa sawit berhampiran didapati sering bergaduh. Tetapi, saya tidak menyangka akan menemui mereka dalam keadaan begini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Shukri Dahalan berkata, dalam kejadian jam 1 pagi itu, mangsa ditemui mati di rumah oleh jiran berhampiran yang turut memaklumkan insiden tersebut kepada polis untuk mendapatkan bantuan.
“Mayat Ashahkumar, ditemui mati di ruang tamu rumah manakala mayat isterinya, Panumathy, di luar halaman rumah mereka.
“Suami mangsa disahkan maut ditempat kejadian oleh pasukan perubatan selepas mengalami pendarahan teruk manakala isteri yang mengalami kecederaan di kepala dikejarkan ke Hospital Manjung sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Katanya, siasatan berhubung punca kejadian masih dijalankan dan pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku perselisihan faham antara kedua pihak ataupun mereka menjadi mangsa samun. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 kerana bunuh.
“Mayat mereka dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga,” katanya. – Sinar Harian Online