KULAIJAYA – Tiga maut termasuk seorang anggota polis sukarelawan selepas terlibat dengan kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di KM 24 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam berhampiran Senai, di sini, malam kelmarin.
Kesemua yang maut adalah konstabel, Mohamad Amir Fairuz Mohamad Sobri, 22; dan seorang suspek, serta seorang pemandu kereta Proton Iswara yang merupakan warga Indonesia bertaraf penduduk tetap, Rosde Tukiyo, 48.
Dalam kejadian jam kira-kira 7.40 malam itu, lapan lagi mangsa yang terlibat dalam kemalangan terbabit cedera dan kini mendapat rawatan di Hospital Temenggong Seri Mahajara Tun Ibrahim, Kulaijaya, di sini, dan dilaporkan stabil.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Deputi Superintendan Mohad Idris Samsuri berkata, kejadian itu dipercayai berlaku apabila pacuan empat roda yang dinaiki empat anggota polis bersama empat suspek hilang kawalan seterusnya memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah bas dan kereta Proton Iswara.
“Siasatan awal mendapati pacuan empat roda itu yang sedang membawa empat suspek yang baru sahaja ditahan atas satu kes kecurian di sebuah pasaraya menuju ke Balai Polis Senai.
“Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan kenderaan terbabit dikatakan hilang kawalan dan termasuk ke laluan sebelah sebelum berlanggar dengan bas dan kemudiannya sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki warga Indonesia,” katanya mengesahkan kejadian, di sini, semalam.
Mohad Samuri berkata, mereka yang terbunuh dihantar ke Unit forensik Hospital Temenggong Seri Mahajara Tun Ibrahim, Kulaijaya untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing.
“Pemandu bas bersama 25 penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan yang dijalankan,” katanya.
Sementara itu, seorang mangsa yang tercedera dalam kemalangan terbabit, Konstabel Shahrin Midai, 20 berkata, kejadian terbabit berlaku terlalu pantas, namun bersyukur dirinya terselamat dalam peristiwa yang tidak disangka itu.
“Kami baru sahaja selesai menjalankan tugas dan dalam perjalanan pulang ke Balai Polis Senai sebelum secara tiba-tiba kami terlibat dengan kemalangan dan saya terus pengsan.
“Apabila saya sedar sekitar jam 6.00 pagi (semalam), saya sudah terbaring di katil hospital. Saya tahu seorang rakan saya meninggal dunia, tetapi tidak tahu keadaan rakan-rakan lain yang tercedera,” katanya.
Shahrin yang juga anggota polis sukarelawan mengalami patah tangan kiri dan cedera di muka selain menerima enam jahitan di bahagian kepala akibat kemalangan terbabit. – Sinar Harian Online
0 comments:
Post a Comment