Baca/Iqra/Read/阅读/வாசிக்க
✐ Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya
seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali
Izrail & beberapa malaikat yang lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa
malaikat yang tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.
✐ Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya
"Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?" Tiada siapa yang menjawab.
Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya "Kepunyaan Allah Yang Maha
Esa lagi Maha Perkasa." Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya
sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.
✐ Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan,
seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup
semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang
rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.
✐ Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut
"Ajbuz Zanbi" yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah
manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih.
✐ Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang
dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat
takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.
✐ Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti
guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar.
Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan
kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak
dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap
manusia sibuk memikirkan nasib mereka.
✐ Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan
dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya.
Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.
✐ Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat,
lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah SWT. Seluruh makhluk
terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.
✐ Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang
berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas
kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik
dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai
menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga
peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada
amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.
✐ Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama
Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin
sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika
diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat
tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari
kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia
mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.
✐ Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik
kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:
ⅰ- Pemimpin yang adil.
ⅱ- Orang muda yang taat kepada perintah Allah.
ⅲ- Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.
ⅳ- Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana
Allah.
ⅴ- Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak
dengan berkata "Aku takut pada Allah".
ⅵ- Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui
orang ramai).
ⅶ- Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu
mengalir air matanya kerana takutkan Allah.
✐ Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua
manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka
terdengar suara "pergilah berjumpa dengan para Nabi". Maka mereka pun
pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan
Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga
ada melakukan kesalahan dengan Allah SWT. Maka kumpulan besar itu kemudiannya
berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s.
(semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa
Rasullullah SAW. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun
perjalanan.
✐ Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah
SWT. Lalu diperkenankan doa baginda.

✐ Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga
menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu
terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 malaikat yang sangat
besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara
yang amat kuat sehingga 'Arasy itu tiba dibumi.
✐ 'Arasy ialah
jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4
batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 malaikat yang besar dan gagah. Dalam
bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan
jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang
sangat kuat.
✐ Kursi iaitu
jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 malaikat yang
sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari 'Arasy umpama cincin ditengah padang
. Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.
✐ Seluruh
makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal.
Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy
menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka
dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah
/ Raqib & 'Atid / Kiraman Katibin.
✐ Manusia
beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir &
munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda
mereka tersendiri untuk dibezakan.
✐ Umat yang
pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW, dan amalan yang pertama
kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah
perkara pertumpahan darah.
✐ Apabila tiba
giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka
lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang
mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.
✐ Semua
makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya
amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang
bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.
✐ Acara ini
disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan
pengikut masing-masing dihisab.
✐ Perkara
pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan
baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.
✐ Ketika
dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan
menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh
Allah Ta'ala dengan Maha Bijaksana.
✐ Setelah
amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak
masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk
berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.
✐ Syafaat Nabi
Muhammad SAW di akhirat :
ⅰ- Meringankan
penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.
ⅱ- Memasukkan
manusia ke dalam syurga tanpa hisab.
ⅲ-
Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.
(Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah
SWT.)
✐ Para nabi
dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi
syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap
seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.
✐ Setelah
berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan
sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya
neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan
ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan
dimudahkan menyeberanginya.
✐ Fudhail bin
Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik,
5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya
seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada
yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki
mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.
✐ Para malaikat
berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000
orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999
orang akan terjatuh ke dalam neraka.
Rujukan:
Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin
Muhammad Al-
Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.
☞ Jika
sekiranya kalian ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu ini kepada
sahabat² yang lain. Sepertimana sabda Rasulullah SAW:
❝ Sampaikanlah
pesananku walaupun satu ayat. ❞
Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam
itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :
① Sedekah/amal jariahnya.
② Doa anak²nya yang soleh.
③ Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya
kepada orang lain.
Kredit : Pengukir Kata
