Monday, May 10, 2021

Widgets

Penjawat awam ditahan positif dadah

PETALING JAYA: Seorang penjawat awam antara 13 ditahan selepas dikesan terlibat dalam penyalahgunaan dadah dalam parti liar di sebuah residensi Jalan Imbi dekat sini awal pagi tadi.

Kesemua suspek berusia antara 19 hingga 39 tahun diberkas dalam serbuan kira-kira pukul 2.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, hasil
pemeriksaan turut menemukan empat peket ketamin bernilai RM400.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati empat lelaki dan lapan wanita termasuk penjawat awam terbabit positif methamphetamine serta ketamin manakala seorang lagi negatif.

“Siasatan mendapati parti liar itu dianjurkan seorang wanita berusia 32 tahun melalui aplikasi WhatsApps untuk berhibur bersama kenalan rapatnya.

“Malah, residensi itu ditempahnya melalui ejen rumah iaitu seorang lelaki warga Bangladesh dengan bayaran RM180 sehari,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Zainal berkata, siasatan lanjut mendapati dadah ketamin disediakan penganjur untuk berhibur bersama-sama rakannya.

Ujar beliau, suspek yang ditahan direman tiga hari sehingga Isnin ini bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) akta sama.

“Mereka turut dikenakan kompaun atas kesalahan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) (No. 2)(Pindaan)(No.5) 2021,” katanya.- UTUSAN ONLINE

0 comments:

Post a Comment

 
Related Posts with Thumbnails