Sunday, November 1, 2015

Widgets

Pengguna LPT2 dinasihati menjaga adab

ORANG ramai, khususnya umat Islam bukan sahaja perlu mempersiapkan diri dengan fizikal, tetapi persiapan kerohanian perlu dititikberatkan sebelum memulakan perjalanan.

Imam Besar Masjid Negeri, Aizi Saidi Abdul Aziz berkata, adab-adab sebelum memulakan perjalanan seharusnya dibuat dengan tertib dan sebagai umat Islam, doa adalah sebaik-baik perlindungan sebagai cara kita bergantung harap kepada ALLAH SWT.

Menurutnya, apa yang berlaku kini, ramai di kalangan pengguna jalan raya khususnya, hanya tertumpu dengan persiapan fizikal seperti memandu dalam keadaan bersedia dan tidak mengantuk, sedangkan persiapan kerohanian tidak dititikberatkan.

“Seeloknya sebelum memulakan sesuatu perjalanan, kita mengamalkan doa seperti doa menaiki kenderaan dan doa minta perlindungan daripada perkara-perkara yang tidak diingini serta amalkan dua ayat terakhir surah At-Taubah.

“Kalau bermusafir, amalkan adab yang diunjurkan oleh Rasulullah SAW seperti menunaikan solat sunat dua rakaat sebelum bermusafir, tujuan musafir adalah dengan niat yang baik, berdoa ketika memasuki pekan atau kampung, berdoa dalam musafir dan seumpamanya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Ketika ditanya tentang kaitan antara kejadian kemalangan dengan sesetengah kawasan di lebuh raya yang dikatakan ‘agak keras’, beliau berkata, perkara seperti itu tidak boleh dinafikan, selain faktor kecuaian manusia dan faktor-faktor lain.

Namun katanya, jika kerohanian seseorang itu kuat, perkara seperti gangguan daripada ‘makhluk halus’ boleh dielakkan.

“Saya sendiri sering kali menggunakan lebuh raya dan LPT2. Alhamdulillah, tidak pernah berlaku perkara sebegitu. Tetapi faktor kawasan itu sendiri kita tidak boleh nafikan. Sebelum menjadi lebuh raya, ia adalah kawasan hutan yang mungkin menjadi tempatnya.

“Sebab itu saya katakan, kita perlu ada adab ketika memandu dan dalam perjalanan. Paling penting, mempersiapkan rohani selain memandu secara berhati-hati dan berhemah serta patuh undang-undang di jalan raya," katanya.

Pegawai Agama Daerah Kemaman, Khairul Azizi Idris berkata aspek mistik dan paranormal mungkin penyumbang berlakunya kemalangan di LPT2 tetapi faktor kecuaian manusia juga tidak boleh dinafikan.

“Memang kita tidak boleh nafi wujudnya unsur mistik yang pengaruhi pemandu LPT2 hingga berlakunya kemalangan. Iblis sememangnya dicipta ALLAH untuk menyesatkan manusia menerusi pelbagai cara termasuklah menjelma dengan rupa tertentu dan
mengganggu manusia.

“Sebab itu sebagai orang Islam semasa hidupkan enjin kenderaan dan sebelum mulakan perjalanan ada doa naik kenderaan yang disyorkan Islam untuk diamalkan. Ini untuk elak gangguan-gangguan dan  untuk kita minta perlindungan ALLAH,” katanya.

Bagaimanapun, katanya selain memohon perlindungan daripada ALLAH, pengguna LPT2 juga tidak boleh mengabaikan aspek keselamatan dan kesihatan untuk mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

Dalam pada itu, Pas Kawasan Kemaman turut tidak ketinggalan mengadakan solat hajat di R&R Kijal (hentian sebelah arah ke Kuantan) pada 26 Oktober lalu yang disertai seramai 300 jemaah terdiri daripada seluruh jawatankuasa Pas Kemaman dan
pelajar empat sekolah pondok iaitu Taman Islam Kemaman, Pondok Al-Mustaqim, Pondok Takwa Paman dan Pusat Pengajian Ribat Al-Asyraf.

Bekas guru agama yang mengimamkan solat hajat itu, Ali Mohamad berkata, benda-benda ghaib seperti syaitan dan jin yang disebutkan dalam al-Quran boleh mengganggu manusia dalam apa juga keadaan terutama pada waktu menjelang Maghrib dan
waktu ketika matahari tegak di atas kepala.

“Rasulullah SAW berpesan bahawa dua waktu ini adalah waktu syaitan suka mengganggu manusia jadi seharusnya kita perlu sentiasa berwaspada.

“Jika kita sedang bawa kenderaan dan misalnya dia (makhluk ghaib) cuit, kemalangan boleh berlaku dengan izin ALLAH. Jadi perkara yang tersiratnya, sepatutnya ketika dua waktu ini berhentilah rehat seketika dan tunaikanlah solat terutama ketika Maghrib,” katanya.

Dalam pada itu, beberapa siri solat hajat dan doa selamat turut diadakan baru-baru ini termasuk yang dianjurkan oleh Dun Bukit Besi di Plaza Tol Bukit Besi, di sini, baru-baru ini bertujuan memohon pertolongan ALLAH supaya pengguna-pengguna LPT2 dilindungi.

Adun Bukit Besi, Roslee Daud berkata, tujuan solat hajat diadakan adalah untuk memohon keselamatan para pengguna dan dalam masa yang sama mengharapkan unsur-unsur negatif atau mistik tidak membelenggu.

Katanya, dakwaan mengatakan berlaku kejadian mistik dan makhluk halus tidak harus diabaikan kerana di dalam Islam mengakui kewujudannya.

“Kita adakan solat hajat, ikhtiar minta dengan ALLAH supaya pengguna akan mendapat keselamatan dan kesejahteraan.

“Memang tidak dinafikan ada penduduk mengaitkan kemalangan dengan unsur-unsur ghaib tetapi kita tidak boleh kata ya atau tidak.

“Pada masa yang sama kita kena sedar dalam Islam tidak menafikan kewujudan unsur sebegini dan kita harus ambil kira semua faktor.

“Sekiranya gangguan ini berlaku, kita mohon dia dijauhkan dan lebih penting para pengguna harus lebih berhemah,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

 
Related Posts with Thumbnails