Sunday, May 12, 2013

Widgets

ANAK ADALAH ANUGERAH ALLAH KEPADA IBU BAPA

Anak yang dilahirkan adalah anugerah Ilahi dan kurniaan daripada Allah SWT kepada umatnya. Zuriat bukan sekadar penyambung warisan malah bukti kekuasaan Allah. Tidak dinafikan bahawa setiap pasangan berumahtangga sentiasa mengimpikan anak untuk menyerikan lagi rumahtangga mereka.

Oleh itu, anak adalah amanah Allah yang dipertanggungjawabkan kepada setiap ibu bapa untuk mendidik dan mengasuh mereka supaya menjadi insan yang berguna kelak. Tetapi malangnya, sejak akhir-akhir ini ada segelintir masyarakat masih lagi tidak mensyukuri kurniaan Allah SWT iaitu melakukan dengan tindakan kejam seperti membuang, membunuh, menjual serta mendera bayi tanpa berperikemanusiaan.

Ini bukanlah satu kisah yang dongeng tetapi ia merupakan satu kisah realiti yang mana dikatakan hampir setiap hari kes sebegini berlaku dinegara kita malah ianya seperti kemuncak yang tiada pasang surutnya apabila setiap hari kes-kes seperti ini terpampang didada akhbar mahupun televisyen.

Peristiwa yang berlaku dalam masyarakat Islam mutakhir ini ibarat kembali pada zaman Jahiliah terdahulu yang mana mereka sanggup menanam hidup-hidup anak perempuan mereka kerana tidak sanggup menanggung malu. Jadi, tidak ada bezanya sama sekali antara perbuatan menanam bayi dengan membuang, membunuh dan mendera bayi dengan niat jahat kerana perbuatan sebegini dilarang Allah. Persoalannya, mengapakah masalah seperti ini sering berlaku dikalangan umat islam pada hari ini?

Hal ini berpunca daripada kalangan ibu bapa yang merasa khuatir tidak dapat menyara kehidupan mereka, lantas memilih jalan terkutuk untuk menyelesaikan masalah tersebut. Sebagaimana yang kita tahu, urusan rezeki adalah ketetapan dan tidak wajar manusia merasa ragu dengan rezeki yang diperlukan bagi membesarkan zuriat mereka. Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan. Kami-lah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar.” (Surah al-Isra’, ayat 31)

Selain itu, tidak terlepas dalam kalangan masyarakat kita ada yang mempercayai musibah atau bencana yang berlaku datangnya daripada sial, badi atau nasib malang contohnya, mengaitkan musibah yang berlaku seperti perniagaan merosot, bankrap atau ditimpa bencana daripada sial yang dibawa oleh anak.

Akibat terlalu taksub dengan kepercayaan seperti itu, mereka sanggup membunuh, mencederakan serta menyisihkan anak yang tidak berdosa itu. Mereka seperti ini ialah manusia yang tidak tahu untuk mensyukuri dan menghargai anugerah Allah yang cukup bernilai itu. Sekiranya masyarakat Islam pada hari ini memahami dan berpegang teguh dengan konsep qada’ dan qadar Allah, pastinya mereka tidak akan merasa kecewa, sebaliknya bersangka baik dengan Allah dan bersedia mengharungi dugaan itu dengan penuh redha.

Setiap anak yang baru dilahirkan umpama sehelai kain putih yang menunggu saat untuk dicorakkan ibu bapanya bukan untuk dihina, dikeji dan diperlakukan tanpa belas kasihan dan berperikemanusiaan. Rasulallah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap kelahiran (anak kecil) dilahirkan dalam keadaan fitrah.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Hadis tersebut menjelaskan bahawa bayi yang dilahirkan fitrah dan putih bersih serta suci daripada sebarang dosa dan kesalahan. Jadi, salah sekali bagi mereka yang beranggapan dan berpendapat bahawa anak kecil yang baru dilahirkan, membawa sial atau malapetaka kepada keluarga.

Islam tidak pernah mengatakan ada dosa yang dibawa oleh bayi sejak lahir sekalipun anak itu adalah anak luar nikah. Akan tetapi, dalam Islam dosa itu mula mencemari kesucian hati seseorang apabila dia meninggalkan perintah Allah dan melanggar segala larangan-Nya.

Oleh itu, lahirnya seorang anak bukannya sebagai satu keseronokan hidup atau menambahkan satu bebanan yang tidak tertanggung. Sebaliknya, kelahiran anak yang diharap dapat menyambung warisan kekeluargaan dan sebagai satu ujian Allah kepada pasangan suami isteri atau ibu bapa. Sebagaimana firman Allah SWT dalam (Surah Al-Anfal: ayat 28) : “Dan ketahuilah harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah ujian dan sesungguhnya disisi Allah jugalah pahala yang besar”.

Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa kehadiran anak adalah adalah penawar kepada ibu bapanya terutamanya pabila usia emas kelak. Doa anak soleh juga penting kepada ibu bapa apabila meninggal dunia, agar dilepaskan daripada azab seksa neraka. Segalanya bergantung pada didikan dan ajaran ibu bapa terhadap anak-anak termasuk didikan agama dan sentiasa menjaga amanah yang diberikan Allah kepada mereka dengan sebaiknya. Jika umat Islam menyedari kedudukan ini sudah pasti ibu bapa tidak akan mengkhianati amanah Allah itu. Mereka akan mendidik anak-anak mereka mengikut acuan dan panduan Islam supaya keislaman anaknya itu tidak dirosakkan.

Sebagai kesimpulan, sesungguhnya anak adalah anugerah Allah yang cukup berharga kepada ibu bapa. Mereka juga amanah untuk dipelihara dengan sempurna termasuk memastikan keselamatannya didunia mahupun akhirat. Oleh itu, jagalah anak selayaknya agar mereka boleh berbakti kepada kedua ibu bapanya kelak dan terus menyayangi, disamping sentiasa bersyukur dengan kehadiran anak didalam keluarga. Berilah perhatian agar mereka menjadi insan bertakwa dan berguna kepada agama, bangsa serta Negara. - Islam Itu Indah



0 comments:

Post a Comment

 
Related Posts with Thumbnails